← SEMUA ARTIKEL

Bagaimana Kacau Daun bermula

Pengumuman GodamSahur 2026, hackathon maya sepanjang Ramadan 1447H

Kacau Daun adalah sebuah bot AI seakan Grok dan Meta AI. Bezanya ia dicipta untuk pasaran Malaysia. Masih lagi mengekalkan tatasusila, di masa yang sama masih lagi cuba bersuka ria.

Ketika Kacau Daun mula dibina, Grok Bot sangat menjadi fenomena. Orang membuat meme dan interaksi suka-suka di media sosial X yang menjadikan bot di media sosial idea yang menarik.

Pada ketika yang sama, saya sangat teruja dengan usaha yang dilakukan Amanz pada ketika itu. Di bulan Ramadan, mereka menganjurkan Godam Sahur, sebuah hackathon bagi menggalakkan pembangun perisian untuk membuat projek sambilan seketika selepas sahur.

Jadi saya cakap kepada diri saya. Saya nak sertai hackathon ini. Bunyinya kedengaran menarik. Benda boleh dilakukan secara solo.

Cuma waktu selepas sahur itu adalah waktu yang cukup suntuk. 29 hari Ramadan untuk 2-3 jam selepas subuh bukan satu tempoh yang mencukupi.

Jadi saya cuba rancang strategi untuk mencari satu projek sederhana yang mampu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat.

Seperti mana X, kita punyai satu laman sosial micro blogging yang dibina oleh Amanz yang diberi nama Daun.me yang berfokuskan kepada kandungan tempatan.

Memandangkan hackathon kali ini menyediakan API khas buat pembangun untuk membenarkan aplikasi mereka untuk berinteraksi dengan Daun, maka kali ini saya memilih untuk membina Kacau Daun.

Seperti mana namanya, inilah waktu yang bersesuaian untuk saya membina bot yang suka kacau orang, di laman sosial yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Bermulanya pembangunan Kacau Daun

Pada 24 Februari 2026, jam 6:24 pagi, dicatatkan commit pertama Kacau Daun selepas sahur. Walaupun ia satu kebanggaan bagi saya, itu juga menjadi titik tolak bermulanya kecacatan awam Kacau Daun secara besar-besaran di Daun. Haha.

Kenapa saya kata begitu?

Saya sebenarnya tidak perasan yang Daun tidak mempunyai akaun yang dikategorikan sebagai akaun peribadi (private).

Jadi ketika diuji, saya tidak tahu yang setiap hantaran saya dilihat oleh orang awam sehinggalah ada orang mula perasan tentang kewujudan akaun @kacau_daun dan mula men-tag akaun tersebut.

Maka bermulalah lawak yang tidak kelakar apabila bot belum lagi sempat dibangunkan sepenuhnya, tapi bot mula menjawab yang bukan-bukan pada setiap soalan. Memang teruk jugalah kondisinya.

Namun di masa yang sama, saya juga merasakan ini satu peluang yang baik. Ramadan adalah satu bulan yang singkat, sehingga saya rasa tidak mampu menyiapkan semuanya.

Jadi pengguna Daun ini adalah penguji tidak berbayar yang membantu saya untuk mempercepatkan proses pembangunan.

Saya gunakan teknik rapid prototyping di mana setiap interaksi di Daun, saya gunakan maklum balas itu untuk memperbaiki kod di belakang tabir. Jadi saya lebih faham jangkaan (expectation) sebenar pengguna.

Hari ini bermasalah, hari ini juga saya betulkan kodnya.

Pada awalnya agak mencabar juga untuk memastikan bot ini berfungsi dengan baik. Namun selepas berhempas pulas menelusuri dan menambah baik kod, maka pada hari ketiga, saya mula lebih tenang. Setiap masalah yang dimasukkan di dalam log telah berjaya diperbaiki.

Fungsi mula dikembangkan

Asalnya saya memang nak buat bot yang memeriksa fakta sahaja. Namun selepas melihat hasil interaksi antara pengguna dan bot, saya mula memasukkan personaliti kepada bot.

Selepas itu, sedikit demi sedikit saya mula memperbaiki komunikasi bot dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, sistem prompt, sanitasi output, dry run, workers dan banyak lagi. Semua ini hanya untuk menambah baik fungsi mention pada Daun.

Selain itu, tulang belakang kepada kemampuan bot ini adalah fungsi-fungsi yang disediakan dari awal iaitu penjanaan imej, carian masa nyata, ringkasan imej dan juga artikel.

Bot bukan sahaja boleh membaca imej, ia juga mengenali tokoh awam, lokasi, adegan serta mampu mengenal pasti beberapa imej dalam satu hantaran.

Di penghujung Februari 2026, Kacau Daun turut mempunyai fungsi ringkasan video YouTube sehingga 7 minit, memori perbualan dari reply terdahulu serta kemas kini berita sensasi.

Maskot Kacau Daun mula diperkenalkan

Maskot Kacau Daun melambai di hadapan latar bandar Kuala Lumpur

Maskot Kacau Daun yang riang, santai dan mudah didekati.

Pada tarikh 8 Mac 2026, maskot Kacau Daun mula diperkenalkan. Makhluk daun berwajah comel dan keanak-anakan menjadi tema sehingga ke hari ini.

Maskot ini berkarakter riang, sentiasa memakai headphone bersama sweater yang melambangkan sifat Kacau Daun yang santai dan bersahaja. Itulah apa yang saya cuba bawakan kepada pengguna Daun, bot yang senang untuk didekati.

Dan juga bot yang jenis suka kacau orang…

Kacau Daun masih lagi sebuah eksperimen

Akhir kata, Kacau Daun masih sebuah eksperimen yang sedang berkembang. Kodnya terus diperbaiki, fungsi baharu terus diuji dan jawapannya terus dipertajam berdasarkan cara orang sebenar menggunakannya.

Apa yang bermula sebagai projek hackathon kini menjadi ruang untuk memahami bagaimana AI boleh hidup dalam komuniti tempatan, bercakap dalam bahasa kebangsaan dan membantu di kalangan pengguna Daun secara keseluruhannya.

Diharapkan perkembangannya tidak terhenti di sini. Harap ia akan terus dikembangkan lagi.

Azmir Shah, pencipta Kacau Daun
PENULIS

Azmir Shah

Pencipta Kacau Daun. Menulis tentang proses membina produk, eksperimen AI dan perkara yang dipelajari sepanjang mengembangkan bot ini bersama komuniti Daun.

Maskot Kacau Daun berdiri di milestone versi 0.6.1 sambil melihat perjalanan menuju versi 1.0.0Cerita asalKacau Daun Selepas 6 Bulan: Perjalanan ke Versi 1.0.0